Belia adalah generasi harapan bangsa dan negara untuk masa kini dan masa akan datang. Mereka adalah pewaris kepimpinan dan tunjang pembangunan dalam merealisasikan matlamat negara dalam apa jua aspek-aspek penting yang boleh menyumbangkan kepada bangsa dan tanah air.
 
Belia pada masa kini sangat berpotensi serta mempunyai bakat semula jadi yang mana di era globalisasi ini, tenaga kerja para belia diperlukan oleh kerajaan bagi sama-sama membantu memperkembangkan ekonomi negara. Para belia yang cekap dan kreatif dalam hal pengurusan dan pengusahaan amat membantu dalam mempelbagaikan sumber ekonomi negara. Para belia mengetengahkan bakat dan kekreatifan mereka terbuka luas. Tambahan lagi dengan wujudnya alat telekomunikasi yang semakin canggih, belia seharusnya merebut peluang untuk memahirkan diri mereka dalam bidang teknologi infokomunikasi (ICT).
 
Belia merupakan pewaris yang bakal memikul tanggungjawab menerajui negara di masa hadapan. Oleh itu, impian negara adalah melahirkan belia cemerlang yang mampu untuk membangun serta memajukan negara.
Perkara pokok untuk menjadi belia cemerlang ialah hormat kepada agama, undang-undang dan adat resam negara. Sebagai penganut agama Islam, setiap perincian yang bakal belia lakukan hendaklah tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam. Islam menyuruh kita supaya mematuhi ajaran Allah Subhanahu Wata'ala dan menghindari segala larangan-Nya.

Di samping itu juga, belia kenalah patuh kepada undang-undang negara. Yang bermaksud menghindari segala bentuk gejala sosial yang bukan sahaja melanggar undang-undang negara malahan bertindak menggelapkan masa depan belia itu sendiri.
 
Belia juga perlu lebih berilmu serta berpengetahuan agar mereka mampu untuk berdaya saing dengan rakan serantau mahupun sejagat. Namun begitu, pendidikan hendaklah selaras dengan penghayatan yang kuat terhadap ajaran agama Islam memandangkan dunia hari ini lebih menjurus kepada kebejatan moral.
Belia hari ini juga haruslah bijak. Bijak dari segi menguruskan masanya dengan melakukan kerja-kerja yang bermanfaat. Di samping itu, mereka bijak dalam mengatur hidupnya dengan melakukan perkara-perkara yang menjurus pada kebaikan.

Dan apa yang lebih penting jika ingin belia cemerlang haruslah mampu untuk berdikari sendiri tanpa perlu banyak bergantung kepada orang lain. Pembentukan negara di masa hadapan tergantung kepada diri belia sendiri untuk mencoraki dan mewarnakannya